Saturday, August 15, 2009

DAP ingin buat demonstrasi di Kota Kinabalu

DAP Sabah baru-baru ini melalui Dr. Hiew King Cheu berkata mereka merancang untuk mengadakan satu demonstrasi aman mengenai masalah bekalan elektrik pada 30 Ogos di depan ibu pejabat SESB di Karamunsing serta pejabat SESB di Sandakan dan Tawau. Demonstrasi itu dibuat bagi menyerahkan surat protes dan maklumat terperinci kerugian individu-individu akibat masalah bekalan elektrik terputus yang sering berlaku. Di samping itu, mereka juga ingin mengemukakan saman terhadap SESB atas masalah bekalan elektrik yang sering terjadi kebelakangan ini terutamanya di kawasan pantai timur Sabah.
Kalau mahu saman, saman sajalah kenapa ingin di buat demonstrasi lagi? Sekurang-kurangnya tindakan itu dibuat berasaskan undang-undang negara. Demonstrasi tetap demonstrasi walau ingin dibuat secara aman. Mampukah Dr. Hiew menjamin demonstrasi itu akan berjalan secara aman. Pepatah selalu mengatakan ‘jangan bermain dengan api nanti mampu membakar diri’. Mungkin niat asalnya ingin dibuat demonstrasi secara aman, tapi jika ada segelintir pihak yang terlalu mengikut emosi atau sengaja ingin membuat kacau pasti keadaan mampu jadi kucar-kacir. Tidak perlulah saya ulaskan disini, pasti sesiapa pun dapat bayangkan jika berlaku kekacauan di ibu kota pasti akan merugikan serta mampu membawa kecelakaan kepada orang awam dan harta benda. Janganlah cuba meniru politik pembangkang di semenanjung, sering buat demonstrasi yang terbukti membawa kerugian kepada negara.
Selain itu, jika dilihat tarikh ingin diadakan demonstrasi tersebut, 30 Ogos adalah hari minggu. Masyarakat kota ramai yang keluar ingin membeli-belah atau meluangkan masa bersama keluarga. Ibu pejabat SESB terletak berhampiran dengan Kompleks membeli belah Karamunsing, bayangkan saja demonstrasi tersebut pasti akan menakutkan orang ramai untuk pergi ke Kompleks Karamunsing, impaknya pasti pada peniaga-peniaga di kompleks berkenaan, yang pasti berharap kehadiran pengunjung yang lebih pada hari minggu berbanding hari-hari biasa. Ironik sekali DAP ini, demonstrasi dibuat bagi menyerahkan maklumat kerugian orang ramai akibat bekalan elektrik yang sering terputus, namun bagaimana pula dengan kerugian yang bakal dialami oleh peniaga-peniaga di Kompleks Karamunsing nanti?
Nota peribadi editor: kamu rasa CM kita suka ka kalau teda elektrik? Dia mo tingu tv pun susah nanti. Saya punya point, teda sepa yg suka kalau letrik putus, semua susah buat kerja kerajaan pun rugi. Sepatutnya masalah ini walaupun kita semua berbeza pahaman politik, namun sama-samalah bah bekerjasama bah solution kongkrit. Itu demonstrasi bikin traffic jammed seja nanti bikin susah urang mo jalan-jalan.

Friday, August 7, 2009

Kota Kinabalu perlu lebih banyak Hospital

Pembangkang terutama DAP kerap memainkan isu Wisma Khidmat yang tidak sesuai untuk ditukar menjadi hospital swasta dan membazir wang awam. Penyelesaian yang mereka kemukakan hanyalah agar bahagian menara Hospital Queen Elizabeth yang ditutup dibaikpulih secepat mungkin dan percepatkan proses pembelian SMC seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tidakkah mereka sedar ini hanya penyelesaian SEMENTARA sedangkan kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk kebaikan semasa dan jangka panjang. DAP Sabah sebenarnya tidak punya banyak isu untuk mengkritik kerajaan Barisan Nasional, itulah sebabnya sebarang isu mahupun isu yang menyentuh kesihatan rakyat ingin mereka politikkan. Siapa yang rugi sebenarnya jika pembinaan hospital ini tergendala jika bukan rakyat sendiri. Ketika itu saya tidak hairan pembangkang dengan pusingan ajaib mereka akan memutar-mutar fakta menyalahkan kembali kerajaan kerana kelewatan menyediakan kemudahan hospital yang mencukupi. Inilah sifat pembangkang di Sabah ini, mujurlah rakyat Sabah lebih bijak untuk menilai kaca dan permata.

Selain SMC, kita cuma ada 2 hospital pakar yang kecil seperti Damai Specialist Centre dan Rafflesia Medical Centre. Katil di SMC cuma ada 170 berbanding penduduk yang di sekitar Kota Kinabalu sahaja sebanyak 427,900 orang. Kemudahan hospital pakar di Sabah sebenarnya masih jauh dari mencukupi berbanding negeri-negeri di semenanjung Malaysia. Lihat saja perbandingannya dengan Sabah yang cuma ada 7 hospital pakar.
Negeri Jumlah Hospital Pakar
Kuala Lumpur 44
Selangor 61
Johor 37
Kedah 11
Perak 14
P.Pinang 25
Sarawak 11

DAP hanya tahu buat bising. Tahukah mereka bilik pembedahan di Hospital Queen Elizabeth cuma ada 4, berbanding pesakit yang menunggu pembedahan sebanyak lebih 2000 orang. Ada pesakit yang terpaksa menunggu berbulan-bulan hanya bagi menjalani pembedahan oleh doctor pakar. Bukankah ini membawa kesusahan dan keperitan kepada pesakit?
Disamping itu, lebih banyak hospital di Sabah mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah sendiri, doktor-doktor tempatan yang selama ini terpaksa berkerja di luar negeri juga mempunyai peluang untuk kembali berkhidmat ditanah air mereka sendiri.
Memetik kata-kata Datuk Seri Musa Aman “Apa guna ada wang kalau tidak boleh digunakan untuk membantu rakyat!”.

Saturday, August 1, 2009

Siapa Halik Zaman?

Kalau kita selalu menjenguk laman sabahkini.net pasti kita perasan akan nama ini. Sering menjadi penulis tamu laman tersebut dan penulisan beliau banyak mempersoal dan memperlekeh pimpinan dan tindakan kerajaan.
Daripada selidikan amatur saya dapati beliau memiliki ciri-ciri yang sama seperti Dr Jeffrey Kitingan. Sering LOMPAT PARTI!. Merupakan ahli USNO pada awal 70’an sebelum meninggalkan Tun Mustapha untuk menyertai parti Berjaya pimpinan Harris Salleh pada 1975. Semasa Berjaya beliau dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Letrik Sabah (nama SESB ketika itu) dan banyak mengaut kekayaannya di sana. Namun Halik berbalah dengan Harris Salleh atas sebab-sebab tertentu. Harris Salleh turut melucutkan gelaran Datuk yang disandang oleh Halik ketika namun Halik bijak mencari lubang di dalam Jabatan Pendaftaran Negara membolehkannya menukar nama dalam IC menjadi Haji Datuk Halik Zaman. Halik kembali mendekati Tun Mustapha selepas itu.

Cerita tentang Halik Zaman senyap untuk sekian lama sehinggalah ketika Parti Keadilan Rakyat mendarat di Sabah, dia dilantik menjadi Ketua PKR bahagian Sepanggar.
Ada cerita menarik tentang Halik Zaman semasa menghadiri seminar Setiausaha Kerja PKR di Kuala Lumpur dimana dia dihina dan dicerca oleh Setiusaha Agung PKR Pusat Salehuddin Hashim kerana mempertikaikan tentang sesuatu isu. (Boleh dilihat sekali lagi sentiment PKR Pusat yang memandang rendah rakyat Sabah). Saya tidak jelas kalau Halik Zaman masih bersama PKR sekarang namun beliau juga senyap seperti Dr Jeffrey dan Ansari tentang perlantikan Azmin Ali sebagai Ketua Perhubungan KeAdilan Sabah. Lidah kelu minda kosong mungkin mereka semua ni dengan mainan politik tinggi Anwar Ibrahim!

Monday, July 27, 2009

Anwar tidak yakin kepimpinan orang Sabah

Anwar Ibrahim jelas menunjukkan sifat ‘double standard’ dalam pimpinan PKR Sabah, satu sifat yang begitu sensitif malah ada yang begitu membencinya dikalangan rakyat negeri Sabah ini. Tindakan Anwar yang melantik Azmin Ali, iaitu orang luar dan bukan dari pimpinan PKR negeri sebagai ketua Perhubungan Keadilan Negeri Sabah menunjukkan Anwar tidak peka dengan sensitiviti rakyat Sabah dan hanya memikirkan agendanya semata-mata.
Apapun rasional Anwar Ibrahim, saya rasa ini satu penghinaan buat ahli PKR negeri Sabah. Apa kurangnya Ansari Abdullah, seorang lawyer ataupun Datuk Jeffrey bekas pemimpin kerajaan serta ahli politik yang cukup veteran malah seangkatan dengan Anwar sendiri suatu ketika dulu. Walaupun saya tidak menyokong perjuangan kedua-dua tokoh ini namun kemampuan mereka memiliki ramai penyokong jelas menunjukkan kualiti kepimpinan yang mereka ada. Jika tidak mereka berdua ini, saya rasa Christina Liew juga mampu menjadi kapten PKR di Sabah. Christina juga berani dan lantang bersuara, malah beliaulah antara tokoh PKR negeri yang sering bersuara dalam perjuangan PKR sebelum Datuk Jeffrey mula menyertai PKR lagi. Apa salahnya wanita memimpin? Wan Azizah juga pernah memimpin PKR suatu ketika dulu sewaktu Anwar masih di penjarakan.
Jika UMNO/BN Sabah semakin melangkah ke depan melobi dan mendesak agar lebih banyak pemimpinnya menjawat portfolio dalam menteri kabinet, Anwar nampaknya melangkah ke belakang dengan perlantikan orang luar dalam pimpinan negeri PKR ini. Kalaulah PKR menang di Sabah nanti, mungkin lebih ramai orang luar akan dibawa dalam pentadbiran parti serta jawatan kerajaan nanti, habissss lah!!!

Sunday, July 26, 2009

Penyelewangan dan rasuah DAP di Selangor

Pakatan Rakyat mungkin akan bergoyang lagi selepas terdapat bukti yang jelas DAP Selangor telah melakukan penyelewangan dan salahguna. Suspek utama ialah Ronnie Liu yang selama inipun sering dikaitkan dengan kegiatan kongsi gelap. Tuduhan terbaru ini turut memaksa Ketua Menteri Selangor yang selama ini pro-bloggers terutama semasa menjadi pembangkang di Selangor kini mengubah nada beliau.
Beliau baru-baru ini berkata blog tidak harus dipercayai seratus peratus dan jika terdapat tuduhan, haruslah dilaporkan kepada pihak berkuasa. Memang lucu kenyataan beliau ini kerana suatu ketika dulu beliaulah yang begitu lantang memperjuangkan para blogger Pakatan Rakyat dalam usaha mereka-reka cerita serta tuduhan terhadap BN di dalam blog mereka.
Isu ini bangkit berikutan kewujudan satu blog misteri http://t4tbh.blogspot.com. Begitu besar kesan kewujudan laman blog ini sehingga Ronnie Liu telah membuat laporan polis terhadap blog ini dengan alasan ini kerja jahat UMNO/BN. Semakin lama saya semakin jelik dengan perangai DAP ini, selama ini UMNO/BN sering dikutuk kerana membuat laporan polis terhadap Raja Petra, penulis blog Malaysia Today. Sekarang baru mereka tahu langit tidak selalu cerah, kebebasan bersuara dalam blog yang mereka agungkan selama ini kini menghantui mereka kembali. Hahaha, ‘Check’ untuk DAP, kita sama-sama lihat apa tindakan mereka seterusnya.

Tuesday, July 14, 2009

Musa: Jalanraya di Keningau akan diperbesarkan

Dalam lawatannya ke Keningau pada 6 Julai lalu Datuk Seri Musa Aman telah menyampaikan satu berita gembira kepada semua penduduk Keningau. Jalanraya di Keningau yang terkenal dengan kesesakan lalulintasnya terutama di waktu pagi dan petang akan menerima proses penaiktarafan. Beliau yang melihat sendiri keadaan lalulintas di Keningau bersama Pegawai Daerah Keningau, Amat Yusuf bersetuju dengan jalanraya di pekan ini yang semakin tidak mampu menampung pertambahan kenderaan yang begitu banyak sekali di Keningau.
Keningau yang terletak di kawasan pedalaman Sabah merupakan tempat destinasi bukan sahaja untuk penduduk-penduduk Keningau sendiri malah bagi penduduk dari daerah berdekatan seperti Tambunan, Tenom dan Pensiangan. Kemudahan infrastrukturnya serta kepelbagaian barangan yang terdapat di Keningau merupakan punca tarikan bagi penduduk-penduduk dari daerah berhampiran. Ini secara tidak langsung mampu menjana ekonomi pekan Keningau menjadikannya pekan yang paling sibuk di kawasan pedalaman. Sekaligus mengundang kepada permasalahan lalulintas yang teruk.